KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memastikan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Taiwan terus dipelihara daripada sebarang ketegangan politik bagi mengelakkan kesan terhadap keyakinan pelabur, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta industri semikonduktor.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata penangguhan rundingan pelaburan Malaysia-Taiwan perlu dipandang serius, namun tidak wajar mencetuskan kebimbangan berlebihan memandangkan kedua-dua pihak mempunyai hubungan perdagangan yang saling bergantung.
Beliau berkata, Taiwan adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM233 bilion tahun lalu, manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah perdagangan mencapai RM213.5 bilion, sebahagian besarnya dipacu produk E&E.









