Kota Kinabalu: Seorang lelaki maut selepas ditikam di dada dalam pergaduhan dengan individu yang dipercayai dikenalinya di sebuah bangunan di Sulaman Sentral, Manggatal, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 30-an dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas oleh abangnya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi.
Susulan kejadian itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.









