Alor Gajah: Pengundi kali pertama Jacker Fong Zhong Cheng mengambil inisiatif mempelajari cara mengundi menerusi Internet bagi memastikan dirinya tidak melakukan sebarang kesilapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Fong, 22, yang menunaikan tanggungjawab itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya berkata antara perkara dipelajarinya menerusi Internet ialah kaedah menandakan kertas undi dengan betul.
"Saya tiba di pusat mengundi pada 8 pagi dan memang sedikit gementar kerana ini kali pertama, namun berasa gembira kerana berpeluang menyertai penduduk di sini melaksanakan tanggungjawab ini.
"Proses pengundian berlangsung dengan baik dan teratur selain suasana pusat mengundi juga terkawal," katanya kepada Bernama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Umboo di sini hari ini.









