Ayer Keroh: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu arahan lanjut berhubung kedudukannya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, beliau belum menerima sebarang arahan berhubung kemungkinan Mohd Shuhaily dikembalikan semula ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Setakat ini saya belum ada menerima apa-apa arahan berhubung dengan isu tersebut. Seperti mana yang saya telah jelaskan sebelum ini, Datuk Seri Shuhaily ini adalah seorang pegawai polis yang menjalani kontrak selama dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS.
"Pelantikan beliau dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi saya menunggu arahan lanjut sekiranya beliau dikembalikan kepada PDRM untuk tindakan-tindakan seterusnya. Setakat ini belum ada lagi apa-apa arahan," katanya dalam sidang media selepas meninjau pusat pengundian di SK Tun Syed Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh, hari ini.








