Serdang: Kehadiran dua pemain skuad Malaysian University Knights, Khairul Hafifi Tajudin dan Muhammad Haikal Huzaimi Abd Razak menyuntik inspirasi kepada bakat muda menerusi Klinik Sepak Takraw sempena Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Kedua-dua pemain itu yang mempunyai pengalaman beraksi dalam sukan sepak takraw turut berkongsi ilmu serta pengalaman dengan peserta, sekali gus memberi pendedahan mengenai perjalanan untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi.
Khairul Hafifi, 25, yang berasal dari Selangor dan beraksi di posisi killer, mula menceburi sukan sepak takraw ketika berusia 15 tahun sebelum terus mengembangkan karier bersama Malaysian University Knights.










