Georgetown: Sebanyak 29 sekolah di Pulau Pinang menerima naik taraf infrastruktur dan kemudahan pembelajaran daripada Kementerian Pendidikan menjelang kemasukan sesi persekolahan Tahun Satu 2027.

Menerusi beberapa hantaran di Facebook, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memaklumkan inisiatif di lima daerah itu membabitkan pembinaan bangunan tambahan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), selain kerja penyelenggaraan, pengubahsuaian dan naik taraf bilik darjah.

"Usaha ini bertujuan meningkatkan kapasiti sekolah serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat untuk murid," kata jabatan itu.

Di Seberang Perai Utara, sebanyak 13 sekolah membabitkan 1,336 murid menerima manfaat berkenaan, merangkumi enam sekolah yang menjalani penyelenggaraan dan naik taraf bilik darjah manakala tujuh lagi menerima bangunan tambahan IBS.