MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menerima dengan hati terbuka keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta menghormati mandat rakyat, meskipun hanya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata keputusan itu akan dijadikan ruang untuk parti berkenaan menilai prestasi serta memperkukuh usaha dan gerak kerja, bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu pada masa hadapan.
"PH sentiasa percaya bahawa keputusan pilihan raya mempunyai dinamika tertentu dan boleh diperbaiki lagi pada masa hadapan," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini malam ini.
Beliau berkata PH juga akan membawa hasil keputusan PRN Melaka ke Mesyuarat Majlis Presiden untuk diteliti secara menyeluruh, termasuk mengambil kira perkembangan keputusan pilihan raya sebelum ini seperti Johor dan Negeri Sembilan.










