KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC (KL City) akhirnya menyelesaikan sepenuhnya tuntutan bayaran faedah atau bunga yang dikemukakan bekas penyerang import dari Filipina, Patrick Reichelt, sekali gus membuka laluan buat kelab itu untuk kembali bebas daripada sekatan perpindahan pemain.

Perkembangan positif itu menyaksikan skuad The City Boys kini hanya menunggu tindakan selanjutnya daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mengeluarkan nama kelab berkenaan daripada senarai sekatan pendaftaran pemain.

Pegawai Koordinasi KL City yang menghubungi Arena Metro hari ini mengesahkan bahawa semua tuntutan bayaran membabitkan Reichelt sudah diselesaikan sepenuhnya dan pihak kelab kini menantikan proses pengesahan serta kemas kini daripada badan induk bola sepak dunia itu.