KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Cilik negara bawah 16 (B-16) tahun negara kembali menghidupkan peluang apabila melakar kemenangan penting 2-1 ke atas Singapura untuk memburu tiket ke Piala Asia Bawah 17 (B-17) di Uzbekistan tahun depan.
Kejayaan yang diraih pada aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-17 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi itu cukup bermakna selepas skuad negara sebelum ini memulakan kempen dengan kekalahan 2-0 kepada Palestin.
Malaysia membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Syaifullah pada minit ke-33 sebelum Singapura menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Izzan Rifqi pada minit ke-45.
Bagaimanapun, skuad negara tidak mengalah dan terus memburu gol kemenangan sebelum Fahim Akmal muncul wira apabila meledak jaringan pada minit ke-88 untuk memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia.









