Bayangkan sebuah kapal penumpang gah yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan Amerika Syarikat (AS), merentasi Lautan Atlantik dengan membawa presiden, kerabat diraja dan selebriti terkenal, kini bakal mengakhiri pelayarannya di dasar laut.
Itulah nasib SS United States, kapal legenda yang pernah mencipta rekod dunia pelayaran Atlantik dan kini bakal ditenggelamkan kira-kira 40.2 kilometer (km) dari pantai Florida Panhandle untuk dijadikan terumbu tiruan terbesar di dunia.
Kapal yang pernah menjadi simbol kehebatan teknologi maritim AS itu akan ditenggelamkan dengan membuka beberapa injap bagi membolehkan air laut memasuki ruang dalamannya secara berperingkat sebelum dibawa ke dasar laut pada kedalaman kira-kira 55 meter (m).








