PETALING JAYA – Belum pun sehari selepas berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semalam, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh hari ini kembali turun padang menyantuni penduduk di kawasan berkenaan.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dilihat menunggang motosikal bagi bertemu penduduk setempat selain meninjau beberapa masalah yang dihadapi mereka.

Antara isu yang mendapat perhatiannya termasuk masalah tebing runtuh, kebocoran bumbung rumah serta kerosakan longkang yang memerlukan tindakan susulan.

Dalam rakaman berkenaan, beliau turut dilihat berbual dengan beberapa penduduk bagi mendengar sendiri aduan mereka selain meninjau keadaan kawasan yang mengalami kerosakan.