PETALING JAYA – Pengguna Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang berdepan kesesakan luar biasa pagi ini susulan gangguan teknikal tren sehingga menyebabkan perjalanan mereka ke tempat kerja tergendala.
Situasi itu mencetuskan keluhan dalam kalangan penumpang apabila mereka terpaksa menunggu lama di stesen, selain ada yang mendakwa diarahkan menukar tren beberapa kali sebelum dapat meneruskan perjalanan.
Menerusi perkongsian di Threads, beberapa pengguna memuat naik gambar dan video memaparkan orang ramai memenuhi ruang menunggu serta laluan pejalan kaki di beberapa stesen MRT.
Seorang pengguna Threads @jyhahazlan, turut berseloroh meminta klinik di sekitar Bangi, Kajang dan Semenyih memahami keadaan pekerja yang mungkin terpaksa mendapatkan sijil cuti sakit (MC) akibat tekanan dihadapi pagi ini.










