Kuala Lumpur: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang kembali beroperasi seperti biasa pada jam 7.58 pagi ini selepas mengalami gangguan teknikal membabitkan sebuah tren di Stesen Taman Suntex.

Rapid KL dalam kenyataan berkata, tren berkenaan sudah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan dibawa ke depot untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut.

"Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif yang diaktifkan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan sepanjang gangguan tersebut juga sudah ditamatkan.

"Kekerapan tren sedang diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan operasi kembali berjalan mengikut jadual perkhidmatan yang ditetapkan," katanya, hari ini.