KUALA LUMPUR: Kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sepatutnya membantu melancarkan tugas harian manusia terpesong daripada fungsinya, apabila perkembangan kecanggihan teknologi itu diseleweng sekali gus mencetuskan ancaman kepada manusia.

Dalam siri meja bulat keselamatan dan sekuriti AI disertai pakar tempatan dan luar negara yang dianjurkan AI Malaysia semasa pembangunan Pelan Tindakan AI Kebangsaan, lima ancaman teknologi itu dikenal pasti berisiko dalam konteks Malaysia.

Ia membabitkan pemalsuan imej atau deepfake, serangan siber, bias algoritma, pelanggaran privasi data dan penyalahgunaan AI generatif.

Menurut Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dalam satu maklum balas kepada BH, kebimbangan Malaysia bahawa manusia semakin hilang kawalan terhadap AI bagaimanapun perlu dilihat melalui beberapa aspek.