KUALA LUMPUR: Dari sebuah pekan kecil di Jitra, Kedah, hingga ke pelosok pedalaman Borneo, perjalanan hidup Profesor Emeritus Datuk Dr Asmah Omar ibarat pengembaraan panjang memburu khazanah bahasa.

Lebih enam dekad, hidupnya didedikasikan untuk merungkai keunikan bahasa, merakam suara masyarakat pribumi dan memastikan warisan yang tidak ternilai itu terus hidup merentas generasi.

Bagi Asmah, 86, bahasa bukan sekadar alat pertuturan, sebaliknya pintu untuk mengenali manusia, budaya dan sejarah sesebuah masyarakat.

Minat itu mula berputik sejak zaman kanak-kanak susulan suasana persekitaran tempat beliau membesar yang mempertemukan pelbagai bahasa. Bahasa Melayu dan Siam menjadi sebahagian daripada percakapan harian, bahasa Arab pula sering didengar daripada pelajar yang menuntut ilmu di madrasah milik bapanya.