SAN FRANCISCO: Sebanyak 40 satelit daripada rangkaian internet Amazon musnah pada Ahad selepas pelancaran roket gagal, sekali gus menjadi tamparan kepada usaha pengasasnya, Jeff Bezos untuk menyaingi perkhidmatan Starlink milik hartawan, Elon Musk.

Roket Vulcan kendalian United Launch Alliance (ULA) berlepas pada pukul 12.40 tengah hari (waktu tempatan) dari Cape Canaveral, Florida, namun mengalami masalah teknikal kira-kira 10 minit selepas pelancaran dan gagal membawa muatan satelit Amazon ke orbit.

“Roket mengalami anomali 10 minit selepas penerbangan bermula dan gagal membawa misi Amazon ke orbit,” menurut kenyataan ULA.

ULA, sebuah syarikat usaha sama antara Boeing dan Lockheed Martin berkata, pihaknya ditubuhkan bagi memastikan akses ke angkasa lepas untuk Amerika Syarikat (AS) serta pelanggan yang bergantung kepada perkhidmatannya, termasuk melaksanakan misi penerbangan angkasa lepas yang paling mencabar.