Kota Kinabalu: Kegiatan penyimpanan dan pengedaran minuman keras yang disyaki tidak bercukai kastam di sini terbongkar, selepas polis menyerbu sebuah premis di Penampang dan merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM14 juta, bulan lalu.
Serbuan pada 27 Oktober itu membawa kepada rampasan 433,296 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama, selain dua lori serta dua van, dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM13.98 juta.
Dalam operasi berkenaan, polis turut menahan tiga lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 40-an yang dipercayai bekerja di premis terbabit bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan itu mencatatkan nilai rampasan terbesar daripada enam siri operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di Sabah.








