SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan segera menempatkan tiga pam berkapasiti tinggi di persimpangan Bukit Raja, Klang, di sini bagi kekerapan kejadian banjir kilat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim, berkata tindakan segera itu sebagai langkah tambahan bagi mengurangkan risiko banjir kilat berdekatan persimpangan I-City.

"Susulan limpahan air dari I-City, Hotel Wyndham serta Taman Rashna, kita sudah meletakkan pam. Kita sudah selesai pasang tiga pam dan insya-Allah, kita yakin isu banjir di kawasan sekitar persimpangan Bukit Raja dapat diselesaikan selepas ini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) berhubung usaha kerajaan negeri bagi mengatasi kekerapan isu banjir kilat di Selangor.