SHAH ALAM: Sejumlah 40,873 peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan menanti pencari kerja di negeri ini berdasarkan statistik MYFuture Jobs sehingga 30 Oktober lalu.
EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu, berkata angka itu menunjukkan kepentingan sektor pengangkutan dalam pasaran pekerjaan negeri serta potensi untuk memperkukuh pendapatan dan pembangunan kerjaya pekerja.
"Kerajaan negeri melalui kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor akan terus memperluas hebahan dan menggalakkan penyertaan majikan dalam sektor logistik dan pelabuhan bagi memanfaatkan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP).
"Tumpuan turut diberikan kepada usaha meningkatkan kefahaman majikan bahawa peningkatan gaji perlu bergerak seiring dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja," katanya menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rashid Asari (BEBAS) mengenai sektor logistik dan pelabuhan diberi keutamaan pelaksanaan serta bagaimana kerajaan negeri memastikan rakyat mendapat manfaat DGP.








