KOTA BHARU: Nasib seorang lagi Timbalan EXCO daripada BERSATU di Kelantan masih belum diketahui susulan pengesahan penyingkiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Bahari Mohd Nor daripada jawatan berkenaan.
Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata beliau belum menerima maklumat sama ada ADUN Paloh, Datuk Shaari Mat Hussain, turut digugurkan daripada jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri.
Beliau mengesahkan Bahari yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, sudah digugurkan daripada jawatan itu.
"Beliau (Bahari) menunjukkan surat mengenai penyingkirannya kepada saya baru-baru ini, namun saya tidak dimaklumkan mengenai nasib seorang lagi timbalan EXCO daripada BERSATU," katanya ketika dihubungi.









