KUALA LUMPUR: Pakej 1 Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD) mencatat kemajuan fizikal 54.61 peratus setakat 8 November lalu dengan pakej seterusnya kini berada di peringkat akhir proses tender.
PLUS dalam satu kenyataan berkata, projek infrastruktur bernilai RM3 bilion itu membabitkan pembinaan dan penambahbaikan laluan sepanjang 17.4 kilometer yang menghubungkan Plaza Tol Juru dengan Plaza Tol Sungai Dua.
Pakej 1 merangkumi kerja penambahbaikan laluan susur di Bulatan Persimpangan Bertingkat Timur-Barat serta pembinaan jambatan baharu di Jalan Tun Hussein Onn, bagi meningkatkan kapasiti jalan raya dan melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pakej 2 hingga Pakej 5 kini berada di peringkat akhir proses tender dan akan dilaksanakan secara berperingkat.









