Sepang: Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau terhadap Perdana Menteri menerusi aplikasi TikTok, tahun lalu.
Syed Rosli Syed Harman, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Mengikut pertuduhan, pemandu e-hailing itu menggunakan akaun TikTok 'syedroslijamalullail' secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu hantaran jelik melampau sifatnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang.










