KUALA LUMPUR: Seramai 11,852 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-66 yang bermula hari ini sehingga 26 November membabitkan 17 sidang.

Istiadat kali ini turut membawa makna istimewa apabila diadakan bersempena sambutan 121 tahun kecemerlangan universiti berkenaan.

Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata seramai 174 daripada 771 graduan Ijazah Kedoktoran berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan atau Graduate on Time (GOT), sekali gus mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan universiti itu.

Katanya, istiadat berkenaan berlangsung ketika UM terus memperkukuh reputasinya di persada global, termasuk mencatat pencapaian tertinggi dalam sejarah apabila menduduki tangga ke-56 dunia dalam QS World University Rankings 2027.