Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM350.4 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 20.7 peratus berbanding RM290.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Lonjakan itu sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan itu membabitkan 4,387 projek merentasi sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang dijangka mewujudkan 152,090 peluang pekerjaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau berkata, prestasi itu membuktikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang dipercayai meskipun berdepan ketidaktentuan global.








