PUTRAJAYA: Bilangan penawaran pekerjaan yang diiklankan dalam talian di Malaysia meningkat 17.8 peratus kepada 654,655 pada suku ketiga 2026, berbanding 555,509 pada suku sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, bilangan syarikat yang mengiklankan penawaran pekerjaan turut meningkat kepada 95,102 daripada 79,510 pada suku kedua 2026.

"Analisis data raya ini bermanfaat kepada pencari kerja kerana menyediakan maklumat penawaran pekerjaan mengikut bidang, sektor ekonomi, TVET, STEM dan COL," menurut DOSM menerusi penerbitan Analisis Data Raya: Job Market Insights Penawaran Pekerjaan Diiklankan Dalam Talian di Malaysia, Suku Ketiga 2026.

Kategori profesional mendominasi pasaran dengan 308,137 penawaran atau 47.1 peratus daripada keseluruhan iklan pekerjaan, meningkat daripada 285,907 pada suku sebelumnya.