SUNGAI PETANI: Tiga warga Pakistan masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menguruskan premis perjudian dalam talian awal bulan ini.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman terhadap Ali Raza, 23, Muhammad Azhar, 21, dan Mian Hamid Ali, 23, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Mereka turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.










