LUMUT – Kapal tangki MT Midas yang merempuh tebing darat berhampiran Taman Rekreasi Madani Esplanade Wing di sini semalam berjaya ditarik keluar dari lokasi kejadian dalam operasi bermula pukul 10 malam.
Jabatan Laut (JLM) berkata, kapal berkenaan kini berlabuh di perairan berhadapan Tanjung Batu Agas, Lumut selepas operasi menariknya keluar dari kawasan kejadian selesai dijalankan
Katanya, sebuah bot tunda turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kapal berlabuh sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya memerlukan bantuan kecemasan.
“Pemeriksaan awal yang dilakukan bersama Maritim Malaysia (APMM) mendapati tiada sebarang tumpahan minyak atau pencemaran marin dikesan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.










