KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat menarik pelaburan dari Perancis dalam beberapa sektor termasuk pemprosesan nadir bumi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama dalam sektor nadir bumi perlu berasaskan kepercayaan, dengan Malaysia berusaha memperluas aktiviti pemprosesan secara selamat tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Pemprosesan nadir bumi merupakan antara bidang yang sangat kami berminat untuk menarik pelaburan dan memperluas aktivitinya, dan kami melaksanakannya dengan cara yang selamat untuk alam sekitar,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan pembukaannya sebelum mesyuarat dua hala dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang diadakan di Bangunan Sultan Abdul Samad yang bersejarah di sini pada Selasa.