Kuala Selangor: Tidak sampai dua minggu, Masjid At-Taufiqiah, Bandar Seri Coalfields, di sini yang mendapat jolokan 'masjid banjir' sekali lagi dinaiki air, malam tadi.

Ahli jawatankuasa (AJK) masjid, Hasan Md Rasol, 62, ketika dihubungi berkata, pihaknya melakukan gotong-royong segera selepas solat Isyak bagi menyelamatkan barangan seperti karpet, sejadah dan al-Quran.

"Setakat jam 9.40 malam, air sudah memenuhi hampir keseluruhan kawasan masjid.

"Bekalan elektrik turut ditutup sementara atas faktor keselamatan," katanya yang memaklumkan banjir itu sama seperti kejadian pada 4 November lalu.