KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Uji Rashid kesal apabila namanya didakwa disalah guna pihak tidak bertanggungjawab bagi mengutip sumbangan orang ramai konon untuk menganjurkan majlis tahlil buat anaknya, Allahyarham Cico Harahap.

Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid, 73, berkata beliau tidak pernah meminta sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak, apatah lagi membuat kenyataan atau hebahan berhubung kutipan wang selepas pemergian Cico pada 8 November lalu.

"Saya dimaklumkan ada pihak menggunakan nama saya di TikTok atau Facebook (FB) untuk meminta sumbangan orang ramai bagi tujuan mengadakan majlis tahlil.

"Demi Allah, saya tidak pernah meminta bantuan atau sumbangan daripada sesiapa. Malah, saya juga tidak pernah keluarkan sebarang kenyataan atau tulis mengenai perkara itu di mana-mana platform.