PETALING JAYA: Platform mobiliti perkongsian global, Bolt mencatatkan peningkatan sebanyak 250 peratus dalam jumlah perjalanan pada tahun kedua operasinya di Malaysia berbanding tahun pertama.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan e-panggilan selain mengukuhkan kedudukan syarikat berkenaan dalam pasaran pengangkutan digital yang semakin kompetitif di negara ini.
Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi berkata, pertumbuhan berkenaan membuktikan masih terdapat permintaan terhadap penyedia perkhidmatan e-panggilan alternatif yang mampu menawarkan pilihan pengangkutan mampu milik dan boleh dipercayai kepada pengguna.
Katanya, sejak mula beroperasi di Lembah Klang pada November 2024, Bolt memberi tumpuan kepada usaha memperluas pilihan perkhidmatan kepada penumpang selain menyediakan peluang penjanaan pendapatan fleksibel kepada rakan pemandu.








