KUALA LUMPUR - Sebanyak 73,498 kanak-kanak kohort umur enam tahun telah memohon untuk memasuki Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 sejak dasar kemasukan secara sukarela itu diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM).KPM memaklumkan setakat 30 September lepas, jumlah keseluruhan permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi 2027 ialah 491,649, merangkumi 418,151 kanak-kanak kohort umur tujuh tahun dan 73,498 kanak-kanak kohort umur enam tahun."Keutamaan KPM adalah untuk memberikan pilihan kepada ibu bapa berdasarkan kesediaan anak masing-masing, di samping memastikan sistem pendidikan mempunyai keupayaan dan kesiapsiagaan untuk menerima kanak-kanak berusia enam tahun yang memilih untuk memasuki Tahun Satu," menurut KPM dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.KPM menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai jumlah murid Tahun Satu berusia enam tahun yang mendaftar sejak dasar itu diperkenalkan, serta tahap sambutan ibu bapa terhadap pelaksanaan dasar berkenaan.Menurut KPM, ketetapan memperluas akses kemasukan ke Tahun Satu dengan memberikan pilihan kepada ibu bapa mendaftarkan anak kohort umur enam tahun akan bermula pada Kalendar Akademik 2027.Pelaksanaan itu dibuat berdasarkan pilihan ibu bapa manakala kemasukan kanak-kanak kohort umur tujuh tahun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan.KPM akan terus memantau perkembangan pendaftaran dan kesiapsiagaan setiap sekolah serta melaksanakan penyelarasan dari semasa ke semasa termasuk dari aspek penempatan murid, keperluan guru, kapasiti bilik darjah dan prasarana.Katanya, langkah tersebut bertujuan memastikan pengoperasian tahun satu bagi Kalendar Akademik 2027 dapat dilaksanakan dengan lancar dan kondusif tanpa menjejaskan akses serta kualiti pendidikan murid. - Bernama