KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memuktamadkan beberapa mekanisme utama bagi pelaksanaan tahanan rumah termasuk kewajipan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus.

Selain itu, kategori pelawat yang dibenarkan untuk menemui individu yang menjalani tahanan rumah juga masih belum diputuskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perkara tersebut masih dalam proses pemuktamadan kerana tertakluk kepada peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dimuktamadkan.

“Walau bagaimanapun, perkara berkaitan kewajipan pemasangan CCTV, pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus, serta kategori pelawat yang dibenarkan, masih belum dapat dimuktamadkan pada masa ini kerana aspek-aspek tersebut tertakluk kepada peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard yang sedang dimuktamadkan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman  sesawang Parlimen, hari ini.