KUALA LUMPUR: Peraturan berkaitan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), gelang elektronik serta kategori pelawat yang dibenarkan bagi tahanan rumah masih belum dimuktamadkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketika ini tiada perintah tahanan rumah dikeluarkan di bawah undang-undang khusus kerana cadangan perundangan itu masih belum dimuktamadkan dan dalam proses semakan undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Kerajaan pada dasarnya bersetuju mewujudkan suatu kerangka perundangan bagi membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat-syarat tertentu dipertimbangkan untuk menjalani tahanan di rumah.

"Ia sebagai alternatif kepada penempatan di penjara sementara menunggu perbicaraan. Bagaimanapun, perkara berkaitan kewajipan pemasangan CCTV, pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus, serta kategori pelawat yang dibenarkan, masih belum dapat dimuktamadkan pada masa ini.