KUALA LUMPUR: Seramai 70,240 individu direkodkan dalam fasa transisi kerjaya sepanjang tempoh Januari hingga 25 September tahun ini.
Berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, seramai 34,800 atau 49.54 peratus daripada jumlah itu adalah individu yang berkelayakan diploma dan ke atas.
“Sektor pembuatan merekodkan jumlah transisi kerjaya tertinggi, iaitu seramai 13,052 pekerja atau 18.58 peratus.
“Ini diikuti sektor perdagangan borong dan runcit dengan seramai 12,910 pekerja (18.38 peratus), manakala sektor pembinaan pula 7,215 orang (10.27 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis di dalam laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai jumlah terkini kehilangan pekerjaan tahun ini.








