SEBIJI kelapa yang hanyut di laut mungkin tidak membawa sebarang makna kepada kebanyakan orang.

Namun, ia berbeza buat Anna Amrina Sayra Ahmad Basri, 36, apabila mengubah idea itu menjadi sebuah penginapan unik di perairan Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah.

Wanita kelahiran Pulau Pinang yang membesar serta bersekolah di Langkawi itu kini dikenali sebagai pengasas Coconest iaitu penginapan terapung berbentuk kelapa yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Coconest direalisasikan bersama suaminya, Muhammad Hakim Azly, 37, selepas mereka terpilih sebagai antara 100 pemenang global Airbnb OMG! Fund 2022 sekali gus menerima AS$100,000 (RM470,000) untuk merealisasikan projek berkenaan.

Berkongsi kisahnya bersama K-Wanita, Reena mengakui idea tersebut bermula daripada kecintaan terhadap kampung halaman dan kehidupannya yang dekat dengan laut.