BATU PAHAT: Tempoh tahanan reman remaja lelaki yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal disambung enam hari, bermula hari ini.

Perintah reman terhadap remaja berusia 16 tahun itu dikeluarkan Majistret, Aimi Nawwar Mohamad Othman.

Terdahulu, suspek yang merupakan seorang rakan sekelas mangsa dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 8.20 pagi.

Sebelum penahanan suspek, difahamkan dua lagi rakan sebaya mereka turut ditahan dalam tempoh beberapa jam selepas mangsa ditemukan maut dipercayai dibunuh di dalam dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tubuh badannya.