WASHINGTON: Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) umum penahanan dua rakyat negara itu yang didakwa membantu pekerja teknologi maklumat (IT) Korea Utara mencuri identiti dan mendapatkan pekerjaan secara penipuan di syarikat AS.

Tujuan penipuan itu adalah bagi menjana pendapatan untuk kerajaan Korea Utara.

Dalam satu kenyataan, DOJ berkata Michael James Bostelle dari Pennsylvania dan Juan Cecilio Pena Carrillo dari Texas ditahan atas tuduhan penipuan melalui komunikasi elektronik, pengubahan wang haram dan pencurian identiti, sebagai sebahagian daripada skim yang didakwa itu.

Sebagai sebahagian daripada operasi berkenaan, DOJ memaklumkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan lain di lebih 40 kediaman di Texas antara 21 hingga 25 September lalu.