PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 20 individu berusia antara 23 hingga 47 tahun kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyalahgunaan kuota pekerja asing dalam operasi khas di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, Selangor, semalam.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula 7.30 pagi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Cawangan Pematuhan Strategik serta Jabatan Perisikan dan Profiling, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hasil maklumat awam serta risikan JIM."Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki pemilik dan pengurus perniagaan, enam pekerja wanita tempatan serta 12 pelanggan warga asing, iaitu sembilan lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia."Pasukan operasi turut menyita 265 pasport warga Bangladesh, 63 pasport warga Indonesia, 12 pasport warga Pakistan dan senaskhah pasport warga India," katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM6,700 yang dipercayai hasil bayaran daripada pelanggan.Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi majikan "A to B", iaitu apabila sesebuah syarikat (majikan A) mendapatkan kelulusan kuota dan membawa masuk pekerja asing menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), namun pekerja berkenaan tidak bekerja dengan syarikat tersebut, sebaliknya dibekalkan kepada syarikat lain (majikan B) bagi mendapatkan keuntungan.Katanya, sindiket itu dipercayai mengemukakan maklumat yang tidak sepadan dengan profil sebenar syarikat bagi mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing dan pemeriksaan lanjut mendapati pekerja asing yang dibawa masuk tidak bekerja dengan syarikat pemohon kuota, sebaliknya bekerja secara bebas di syarikat lain."Kegiatan ini dipercayai mampu menjana keuntungan antara RM3,800 hingga RM5,000 bagi setiap pekerja. Bagi mengelak pembayaran cukai kepada kerajaan, syarikat terbabit dikesan mengisytiharkan keuntungan jauh lebih rendah berbanding rekod kewangan sebenar selain turut didapati gagal melaporkan pendapatan peribadi bagi tahun taksiran 2020 hingga 2023," katanya.Beliau berkata, pemilik, pengurus perniagaan dan pekerja tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala 12 pelanggan warga asing turut ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963."Pemilik syarikat turut disiasat oleh LHDN berhubung kegagalan melaporkan pendapatan dan pelaporan pendapatan tidak tepat di bawah Seksyen 112(3) serta Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya.Zakaria berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang, termasuk menyasarkan pihak yang merancang, mengurus dan meraih keuntungan daripada kegiatan penyalahgunaan kuota pekerja asing. - Bernama