KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu proses mengemuka aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Pendidikan (KPM) diperketat kerana ketika ini saluran itu terdedah luas kepada eksploitasi, termasuk bagi memfitnah dan mencemarkan reputasi pendidik.

Mengemuka syor berkenaan, kesatuan mewakili kira-kira 230,000 pendidik itu menegaskan SISPAA KPM perlu dirombak dengan mewajibkan pengesahan identiti pengadu serta tapisan integriti dakwaan sebelum siasatan terhadap guru dimulakan.

"Langkah ini bagi mengelakkan sistem itu disalahgunakan untuk memfitnah dan mencemarkan reputasi pendidik. Majoriti ahli NUTP pernah diadukan melalui sistem ini," tegas Presiden NUTP, Aminuddin Awang.