Padang Besar: Seorang suami buntu memikirkan nasib keluarganya apabila terpaksa mengehadkan masa mengambil upah melakukan kerja kampung demi menjaga isteri yang terlantar akibat strok dan pendarahan dalam otak.

Norizan Harun, 54, dari FELDA Chuping, berkata isterinya, Junalita Napiah, 53, kini bergantung sepenuhnya kepada dia selepas diserang strok awal Oktober lalu yang menyebabkan separuh badannya lumpuh dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Beliau berkata, detik hitam yang menimpa keluarganya bermula kira-kira tiga bulan lalu apabila isteri sering pening dan pengsan, sebelum pemeriksaan hospital mendapati terdapat pendarahan di kepalanya.

"Pada mulanya keadaan isteri makin teruk sehingga matanya tidak boleh dibuka dan tidak mampu bercakap. Selepas imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor beritahu ada pendarahan di kepala yang sedang membesar.