WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) merangka pelan serangan baharu yang merangkumi kemungkinan penggunaan ‘ibu segala bom’ terhadap infrastruktur tenaga dan tapak nuklear Iran sekiranya Presiden, Donald Trump mengarahkan operasi ketenteraan disambung semula.

Menurut laporan memetik beberapa pegawai AS yang mengetahui perancangan itu, penggunaan MOAB, bom bukan nuklear terbesar dalam senjata AS, berpotensi meningkatkan ketegangan konflik dengan Iran, meskipun beberapa pegawai mempersoalkan keberkesanan senjata itu dalam mencapai matlamat ketenteraan Washington.

Menurut CNN, Trump mengarahkan pihak tentera menyediakan pilihan serangan tambahan terhadap sasaran di Iran, termasuk infrastruktur tenaga dan kemudahan yang dikaitkan dengan program nuklear negara itu.