Shah Alam: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintah seorang pegawai kanan polis serta Timbalan Pengarah dan Pegawai Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membela diri atas tuduhan rasuah yang dihadapi mereka.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Asisten Superintendan Eddie Lau Lay Chuong, 45, serta Muhamad Irwan Abdullah, 46, dan Zahari Muhammad, 36.

Berdasarkan pertuduhan, Eddie ketika bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya memperoleh suapan RM10,000 daripada seorang lelaki berusia 59 tahun sebagai dorongan menutup siasatan terhadap pekerja syarikat lelaki berkenaan di bawah Seksyen 3(2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947.