KUALA LUMPUR: Gangguan sihir dalam rumah tangga, terutama sihir pemisah bukan lagi sekadar momokan masyarakat, sebaliknya ia suatu bentuk gangguan makhluk halus yang bertujuan memecah belah hubungan suami isteri melalui cara syirik.

Walaupun tiada peruntukan undang-undang khusus berkaitan sihir di Mahkamah Syariah yang memberikan punca kuasa secara langsung kepada hakim untuk memutuskan unsur sihir pemisah, ia tidak bermakna isu berkenaan tidak pernah dibicarakan di hadapan mahkamah.

Pakar forensik sihir, Prof Madya Dr Mahyuddin Ismail memberitahu BH, terkena sihir boleh dijadikan sebahagian daripada bentuk pembelaan di Mahkamah Syariah, khususnya kes perceraian talak.

"Bagi kes sedemikian, pihak yang mendakwa perlu mengemukakan beban pembuktian yang terperinci. Sekiranya seorang suami atau isteri mendakwa talak dilafazkan dalam keadaan diri suami dipengaruhi sihir, pihak mendakwa perlu membuktikan beberapa perkara utama kepada mahkamah," katanya.