Bangkok: Gara-gara diperdaya sindiket penipuan pusat panggilan, seorang penuntut universiti sanggup mengasingkan diri di bilik sewa dan melakonkan adegan penculikan palsu termasuk menyapu campuran sirap merah dan kopi pada tubuh serta dinding bilik bagi menyerupai darah, lapor Khaosod English.

Helah itu bertujuan memperdaya ibu bapanya supaya membayar wang tebusan selepas sindiket berkenaan gagal mendapatkan wang daripada mangsa yang sudah menyerahkan 36,000 baht Thailand (kira-kira RM4,400).

Bagaimanapun, rancangan itu terbongkar apabila ibu bapanya meragui dakwaan anak mereka menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Mereka menghubungi pensyarah universiti untuk mengesahkannya sebelum menyedari anak mereka mungkin menjadi mangsa penipuan dan meminta bantuan polis.