DARIPADA hafazan al-Quran kepada robot pemadam kebakaran, lima pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah membuktikan usia muda dan ilmu agama bukan penghalang untuk mereka meneroka dunia teknologi dan inovasi.

Pada usia 14 tahun, mereka bukan sahaja menghafaz al-Quran sebagai sebahagian daripada pengajian di sekolah, malah turut membina sebuah robot pintar yang mampu mengesan kebakaran, menentukan lokasi sasaran dan melakukan pemadaman secara automatik.

Usaha itu membuahkan hasil apabila inovasi Smart AI Firebot: Redque-X berjaya meraih Pingat Emas dan Anugerah Khas Best of Young Inventor – Kategori Sekolah Menengah pada pameran SIRIM Invention, Innovation & Technology Expo (Si2TE) 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 24 September lalu di Advanced Materials Research Centre (AMREC), SIRIM Berhad, Kulim Hi-Tech Park, Kedah.