KOTA BHARU: Lelaki yang tular melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap kucing di Selising, Pasir Puteh dekat sini mempunyai tiga rekod berkait kes dadah dan satu kes jenayah pecah rumah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat bagaimanapun berkata, ujian saringan air kencing terhadap lelaki berusia 49 tahun itu mendapati suspek negatif dadah ketika ditahan.

“Ini semua punca dadah. Apabila ambil dadah terutama jenis sintetik, ia memberi kesan kepada mental seseorang sehingga menyebabkan individu itu tiada akal dan tiada otak.

“Kita sudah meminta sebuah pertubuhan bukan kerajaan mengambil 10 ekor kucing pelbagai jenis dan baka yang ada di rumah suspek ke tempat pemeliharaan yang selamat,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.