PUTRAJAYA – Sejumlah 10 agensi pelaporan kredit disahkan berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit, Kementerian Kewangan bagi tempoh 2026/2027.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit berjaya melaksanakan pembaharuan perakuan pendaftaran agensi pelaporan kredit di bawah seksyen 14 Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 [Akta 710] untuk tempoh sah laku dari 15 September 2026 hingga 14 September 2027.

Katanya, Senarai semasa agensi pelaporan kredit yang berdaftar termasuk CTOS Data Systems Sdn. Bhd., Experian Information Services (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Credit Bureau Malaysia Sdn. Bhd..

Turut berdaftar ialah Dun & Bradstreet (D&B) Malaysia Sdn. Bhd., FIS Data Reference Sdn. Bhd., Omesti BI Sdn. Bhd., CTOS Basis Sdn. Bhd., MARC Data Sdn. Bhd., Mydata Infomatica Sdn. Bhd. dan One Future Solutions Sdn. Bhd..