Kuala Lumpur: Ada air mata yang disembunyikan seorang bapa, ada kerinduan terhadap anak-anak yang terpaksa dipendam, namun segala pengorbanan itu akhirnya terbayar apabila pelumba berbasikal para negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi menghadiahkan emas pertama Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, semalam.

Pada usia 36 tahun, Zuhairie membuktikan semangat dan keazaman mampu mengatasi pelbagai cabaran apabila menjuarai acara ujian masa 1,000 meter lelaki kategori C4-C5 (kecacatan fizikal) dengan catatan satu minit 5.361 saat (s).

Apa yang lebih membanggakan, dirinya turut memecahkan rekod temasya dengan catatan 1:04.882s pada pusingan kelayakan dan memadam rekod lama, 1:07.311s yang dilakukan oleh wakil China, Lai Shanzhang pada edisi Hangzhou 2022.