PYONGYANG – Kim Jong-un muncul dalam beberapa gambar menunjukkan beliau menghadiri pameran pakaian dan kasut selepas spekulasi bertiup kencang di media sosial bahawa pemimpin tertinggi Korea Utara itu meninggal dunia akibat pendarahan otak, lapor laman berita First Post.
Gambar siaran media rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menunjukkan Jong-un melawat Pameran Pakaian dan Kasut Kebangsaan 2026 kelmarin dengan diiringi anak perempuannya, Kim Ju-ae serta isteri, Ri Sol-ju.
Selain meneliti setiap produk yang dipamerkan, beliau dilihat berinteraksi dengan beberapa pegawai.
Foto itu muncul selepas dakwaan mengenai keadaan kesihatan Jong-un tersebar luas di media sosial minggu lalu. Beliau didakwa mengalami pendarahan otak dan berada dalam keadaan koma sebelum dibawa ke Beijing untuk menerima rawatan kecemasan.








